Senin, 24 Februari 2014

Perkhidmatan wad Hospital Bersalin dan Pusat Perubatan Cina N S digantung

November 22, 2013. TMI
Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan supaya perkhidmatan pesakit di dalam wad Hospital Bersalin dan Pusat Perubatan Cina N S (NSCMH) digantung, berkuat kuasa serta merta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hospital itu didapati melakukan 10 pelanggaran Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan peraturannya.

"Pelanggaran ini meliputi perkara melibatkan perkhidmatan bagi pesakit di dalam wad dan pesakit luar. Satu daripada contohnya adalah NSCMH kekurangan doktor residen sepenuh masa bidang teras tertentu dalam lesennya, dengan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pesakit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Katanya, hospital itu tidak dibenarkan menerima pesakit baharu dan pesakit sedia ada di dalam wad akan dipindahkan ke hospital lain kerana kementerian mengutamakan keselamatan pesakit dan penjagaan kesihatan berkualiti.

Dr Noor Hisham berkata, langkah penggantungan itu diambil susulan siasatan terperinci terhadap aduan diterima kementerian pada Ogos dan dibuktikan menerusi penemuan diperoleh semasa lawatan pengesahan dilakukan di premis hospital itu pada 4 September.
"Kementerian sudah dua kali mengeluarkan surat tunjuk sebab iaitu pada 18 September dan 21 Oktober meminta hospital itu memberikan butiran terperinci berhubung langkah penambahbaikan yang diambil dan langkah yang dirancang untuk mengatasi 10 pelanggaran itu," katanya.

Beliau berkata, satu mesyuarat khas diadakan pada 17 Oktober untuk bertemu wakil hospital itu dan ahli seumur hidup NSCMH bertujuan memberikan penjelasan terperinci berhubung 10 pelanggaran itu yang dikesan semasa lawatan pengesahan dan juga membincangkan penyelesaian sesuai terhadap masalah dihadapi hospital itu.

"Pengurusan hospital diberi masa 14 hari bekerja untuk menjawab surat tunjuk sebab kedua bertarikh 21 Oktober dan tempoh itu tamat pada 8 November.
"Berikutan kegagalan pihak pengurusan hospital mengatasi dan menangani dengan sewajarnya 10 pelanggaran itu, kementerian tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan notis penggantungan perkhidmatan pesakit di dalam wad di hospital itu bagi memastikan amalan perubatan selamat dan melindungi kepentingan pesakit," katanya. - Bernama, 22 November, 2013.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar